Pengurus pasukan Liga Super Perak Khairul Azwan Harun berharap agar penyokong-penyokong pasukan Kejor Yob Kejor bersabar dan memberi peluang kepada jurulatih Norizan Bakar untuk memperbaiki prestasi pasukan.
Khairul Azwan hari ini mengulas komen-komen peminat bolasepak Perak di laman Facebook yang rata-rata menyuarakan kebimbangan mereka tentang prestasi penyerang import dari Serbia, Lazar Popovic.
Popovic, 29, masih tercari-cari gol pertama untuk Perak selepas sembilan perlawanan Liga Malaysia, termasuk perlawanan pusingan pertama Piala FA minggu lalu.
“Perak akan menguji beberapa penyerang import dari benua Afrika mulai 19 Mac hingga 1 April” kata Azwan.
“Sebarang perubahan boleh dibuat mulai 2 April, apabila tempoh perpindahan dibuka oleh FAM” tambah beliau lagi.
“Saya dan pihak pengurusan PAFA sentiasa peka dengan pandangan-pandangan dan berterima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberikan sokongan dan semangat” kata Azwan lagi.
PAFA menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala untuk musim Liga Malaysia 2012.



