Perak FA Yellow 300x300Perak memulakan aksi Liga Super 2012 dengan baik apabila menumbangkan Skuad Penyu 1-0 di Ipoh. Pada ketika itu, harapan para penyokong Perak dilihat begitu yakin dengan barisan yang dipertaruhkan oleh Haji Norizan Bakar.

Kehadiran Michal Kubala dan Lazar Popovic seolah-olah memberi nafas baru buat pasukan Perak yang kurang memberangsangkan di musim lalu.

Beberapa hari berselang, Safiq Rahim melenyapkan sorakan ribuan penyokong Perak di Bukit Jalil pada perlawanan kedua yang menyaksikan Perak berputih mata pulang dengan tangan kosong tewas 0-1.

Ketika itu, para pemain dilihat amat kecewa dengan hasil yang diterjemahkan sekali gus merencatkan semangat mereka untuk memburu kemenangan kedua.

Ada pendapat yang mengatakan, laman Selangor adalah badi buat Perak dan ini merupakan kekalahan di laman Selangor untuk musim keempat berturut-turut sejak 2009.

Kali terakhir Perak menumbangkan Selangor di Shah Alam ialah pada 02 Februari 2008 dengan jaringan 4-2.

Selepas itu, Perak berjaya mengutip mata penuh dalam kesemua perlawanan tidak kira di laman sendiri mahupun di tempat lawan sehinggalah perlawanan ke 8 apabila tewas di Kuala Terengganu kepada T-Team dengan jaringan 2-0.

Bermula detik itu lah, Perak kempunan 3 mata sehinggalah ke hari ini. Biarpun selepas itu berjaya meningkatkan mutu permainan apabila seri 2-2 dengan Selangor PKNS, namun itu belum cukup untuk memberi keyakinan bahawa Perak kembali bangkit dalam perlawanan datang.

Buktinya, selepas itu Perak dilihat semakin merudum apabila tewas kepada Kelantan 2-0 dan dengan Kedah 3-0 baru-baru ini.

Secara keseluruhannya, Perak gagal mengekalkan prestasi cemerlang seperti di awal musim lalu. Jika musim lalu Perak dilihat kurang konsisten apabila prestasi dilihat turun naik dan sukar diramal.

Untuk musim ini, jika dilihat graf prestasi mengalami banyak penurunan ketika menghampiri pertengahan musim.

Penurunan ini dilihat berpunca daripada beberapa faktor. Antaranya, percaturan Jurulatih yang mudah diramal oleh pihak lawan. Buktinya, barisan kesebelasan utama Perak dibarisi oleh pemain yang sama disetiap perlawanan sedangkan pasukan lain sudah mula membuat rombakan selepas 5 atau 6 perlawanan.

Secara teknikalnya, pihak lawan meramalkan corak permainan tidak banyak kerana kesebelasan utamanya adalah sama.

Faktor lain yang mempengaruhi adalah, ketumpulan jentera serangan. Biar pun Akmal Rizal berjaya meledakkan dua gol untuk menyelamatkan Perak ketika menentang N.Sembilan di Ipoh tempohari, namun itu belum cukup untuk melabelkan beliau ‘sudah kembali’.

Ditambah pula dengan aksi ‘lemau’ Lazar Popovic yang ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ di dalam padang mula menjadi sasaran pengkritik untuk menjadikan beliau punca kekalahan demi kekalahan.

Memang benar, tiada satu gol pun dihasilkan oleh pemain import ini sedangkan Michal Kubala (pemain tengah) sudah meledakkan 6 gol untuk Perak setakat ini.

Pada hakikatnya, Perak adalah pasukan yang well organized ketika mengatur serangan. Paling ketara adalah semasa menentang Kedah tempohari terutamanya di separuh masa pertama.

Rata-rata penonton kagum dengan permainan hantaran pendek dan kawalan tengah yang baik. Ini kerana, sebelum ini sebelum ini para penyokong disajikan dengan permainan bola tinggi iaitu hantaran jauh yang kadang-kadang membosankan kerana tidak berkesan.

Untuk perlawanan seterusnya, Perak harus bangkit. Bab penyokong bukan lagi masalah ketika ini. Setiap venue di mana sahaja Perak beraksi akan ada kelompok besar penyokong Perak biarpun perlawanan persahabatan.

Usah mencari alasan, sebaliknya cari jalan penyelesaian.

Artikel asal di Seladang.Net.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 Leave a Reply