Khairul Azwan Harun 02Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah mempunyai strategi tersendiri bagi membentuk skuad Seladang menghadapi Liga Super 2013 yang bermula 8 Januari akan datang.

Pengurus Pasukan, Khairul Azwan Harun berkata, Azraai Khor lebih mengerti dan mengetahui mengenai pembentukan skuad Seladang.

“Saya tetap yakin dengan kemampuan ketua jurulatih itu,” jelas Azwan di Ipoh semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan terhadap Azraai Khor dalam beberapa laman sosial apabila Perak kalah dua perlawanan pra musim minggu lalu.

Perak gagal mengekalkan prestasinya apabila tumpas 1-2 kepada pasukan Liga Perdana, Pos Malaysia dan Liga FAM, Pulau Pinang 0-1

Sebelum itu, Perak mencatat tiga kemenangan mengalahkan Perlis 3-0, kelab ODA FC, Kedah 6-0 dan kelab Selatan Thai, Satun FC 4-0 dalam siri Jelajah Utara.

Para penyokong perlu menunggu saingan Liga Super bermula sebelum membuat penilaian terhadap ketua jurulatih itu.

Mengenai perubahan gelanggang perlawanan ke Stadium TLDM, Lumut yang mana perlu beraksi pada waktu petang; Azwan berkata, perkara tersebut di luar kawalan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Sebelum ini, perbincangan hangat di beberapa laman sosial mengenai skuad Seladang yang perlu bermain di Lumut dan waktu petang.

Perak terpaksa bermain pada waktu petang kerana kecerahan lampu di Stadium Perak, Ipoh adalah 800 lux sahaja.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan semua perlawanan Liga Malaysia musim 2013 dilangsungkan di stadium yang mempunyai kecerahan lampu sekurang-kurangnya 1000 lux.

Perak akan memulakan saingan Liga Super 2013 di gelanggang sendiri berdepan T-Team di Stadium TLDM pada 8 Januari jam pukul 4.45 petang.

Azwan yang juga Timbalan Presiden Pafa berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang berusaha meningkatkan kecerahan lampu itu.

Difahamkan, Stadium Perak dijangka ditutup selama tiga bulan bagi kerja-kerja peningkatan kecerahan lampu.

Oleh itu, lima perlawanan pusingan pertama Liga Super 2013 yang bakal dilalui oleh Perak di gelanggang sendiri akan dilangsungkan di Lumut.

Artikel asal di PerakNews.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 Leave a Reply