Lazada Malaysia
May 162013
 

Seladang Fan Club“Penyokong Perak tak ganas!”

Itu penjelasan Presiden Seladang FC, Zul Che Ani berhubung laporan akhbar mengatakan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) perlu menanggung akibat angkara sikap penyokong yang dianggap kurang berdisiplin, lapor NORASHIKIN LEMAN.

Menyifatkan pertuduhan itu terlalu berat, Zul berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendengar penjelasan mereka sebelum mengenakan sebarang tindakan terhadap Pafa.

“Kami akan mengemukakan surat rayuan. Ini cuma salah anggap dan mereka tidak sepatutnya hanya meletakkan kesalahan tersebut kepada penyokong sahaja.

“Tidak dinafikan ada segelintir penyokong gagal mengawal perasaan, tetapi kami bukan merusuh. Sebaliknya kami hanya meraikan kemenangan dan ia juga ibarat majlis perpisahan apabila hari tersebut (27 April) merupakan perlawanan terakhir Perak menggunakan Stadium Lumut sebagai gelanggang.

“Saya harap FAM faham situasi tersebut dan jangan hanya mendengar laporan dari satu pihak sahaja, teliti semula bukti yang ada,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam masa sama, melihat tahap keselamatan Stadium Lumut yang tidak mencapai standard sepatutnya menjadi punca pertembungan penyokong dari kedua-dua pasukan, Zul berkata: “Penyokong (Perak dan JDT) tidak akan meluru ke padang sekiranya ciri-ciri keselamatan di stadium diperketat.

“Malah, pada waktu itu juga penyokong Johor Darul Takzim dan Seladang tidak diasingkan. Provokasi sudah tentu berlaku dalam bola sepak, tetapi kami tidaklah sehingga mahu mencetuskan pergaduhan.”

Ditanya sekiranya jawatankuasa disiplin FAM mendapati Perak bersalah, Zul menambah: “Kami akan adakan satu kutipan derma untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Pafa.”

Artikel asal di Sinar Harian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 Leave a Reply