Nasir BasharudinMisi Perak untuk mengutip tiga mata penuh pada aksi Liga Super menentang Pahang di Stadium Darul Makmur malam esok sedikit terjejas.

Ini kerana, skuad Seladang itu akan beraksi tanpa tonggak utama, Mohd Nasir Basharuddin yang terpaksa diketepikan selepas mengutip tiga kad kuning.

Bagaimanapun situasi itu masih tidak mencemaskan jurulatihnya, Mohd Azraai Khor Abdullah yang tetap yakin kemampuan para pemainnya untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu.

Tidak menafikan bakal berdepan laluan sukar, Azraai Khor tetap optimis anak buahnya mampu mencuri mata pada perlawanan tersebut biarpun beraksi di tempat lawan.

“Tidak dinafikan kehilangan Nasir tamparan hebat kepada pasukan, ini kerana dia adalah nadi kami di bahagian tengah.

“Dan memang agak malang dia tidak dapat diturunkan ketika kami dalam misi mencari tiga mata penting untuk membaiki kedudukan menjadi lebih baik.

“Apa pun, saya sudah berjaya mendapat penggantinya dan berharap pemain itu mampu melaksanakan tugas dengan baik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Pada masa sama, Azraai Khor juga menggesa anak didiknya supaya tidak memandang enteng pasukan bimbingan Dollah Salleh itu.

Menurutnya, lawan pasti mahu bangkit selepas ditunjukkan jalan keluar pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan separuh akhir Piala FA sebelum ini.

“Saya jangkakan perlawanan ini sukar kerana Pahang bukan calang-calang pasukan.

“Selain itu mereka pasti mahu menebus kehampaan gagal ke final Piala FA dengan mencatat kemenangan untuk mencabar kedudukan teratas liga.

“Justeru pemain Perak mempunyai tugas dan misi yang sukar. Sehubungan itu, saya harap pemain dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap perlawanan ini,” jelas beliau yang turut menurunkan kesebelasan seimbang bagi menghadapi Pahang itu nanti.

Untuk rekod, Perak kini menduduki tangga kesembilan dengan mengutip 22 mata selepas mengharungi 18 perlawanan setakat ini.

Artikel asal di Sinar Harian.
Foto oleh Yusrie Zulkifli.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 Leave a Reply