Piala Malaysia New 300x300Jadual pertandingan Piala Malaysia musim ini tidak akan membebankan 16 pasukan yang bertanding biarpun ketika saingan piala berprestij itu berlangsung terdapat kejohanan Pestabola Merdeka 2013 dan Kelayakan Piala Asia 2015.

Empat perlawanan awal peringkat kumpulan Piala Malaysia dijadual pada 20, 24, 27 dan 31 Ogos sebelum saingan berehat dua minggu untuk memberi laluan kepada Pestabola Merdeka dari 4 hingga 15 September ini.

Dua baki perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia kemudian disambung pada 17 dan 21 September disusuli aksi suku akhir pada 28 September dan 4 Oktober.

Saingan berehat sekali lagi dua minggu memberi laluan skuad kebangsaan menghadapi perlawanan pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Bahrain pada 15 Oktober sebelum disudahi dengan separuh akhir pertama pada 18 dan 19 Oktober, separuh akhir kedua pada 25 dan 26 Oktober serta aksi final 3 November.

“Jadual yang kita susun ini pada asasnya sudah mengambil kira pemain yang akan beraksi bersama skuad B-23 negara ke Pestabola Merdeka dan skuad kebangsaan bertemu Bahrain.

“Jadi kita sedaya upaya menyediakan jadual terbaik supaya tidak terlalu padat dan membebankan pasukan.

“Untuk final pula, kita tidak dapat adakan pada Sabtu kerana ia jatuh pada Hari Deepavali dan kita perlu menghormatinya.

Apa pun final pada Ahad tidak menjadi masalah kerana ia juga hari cuti hujung minggu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Afandi Hamzah ketika dihubungi, semalam.

Undian Piala Malaysia bakal berlangsung, Sabtu ini dengan Balang 1 menampilkan empat pasukan teratas Liga Super – Lions XII, Selangor, Johor Darul Takzim (DT) dan Kelantan manakala Balang 2 diisi pasukan kelima hingga kelapan Liga Super – Pahang, Tentera, Perak dan PKNS FC.

Balang 3 pula menampilkan pasukan kesembilan dan ke-10 Liga Super – Terengganu dan T-Team serta dua pasukan teratas Liga Perdana – Sarawak dan Sime Darby manakala Balang 4 diisi pasukan ketiga dan keempat Liga Perdana – Johor dan Kedah serta dua pemenang playoff – FELDA United dan Negeri Sembilan.

Artikel asal di Berita Harian.

Marilah berazam Raya bersama Watsons, dengan Faizal Tahir!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 Leave a Reply